Sifat belas kasihan bukti kesempurnaan iman  

Posted by farihan

MASYARAKAT Malaysia terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekertinya yang lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji.

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kes penderaan dan penganiayaan di kalangan masyarakat Malaysia bermula kes penderaan anak, penganiayaan isteri atau suami dan penderaan terhadap pembantu rumah.

Rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan ini sudah cukup menggambarkan betapa masyarakat Malaysia kini semakin kepupusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka. Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan.

Islam sebenarnya membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk yang menghuni alam ini termasuk binatang. Ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah al-Anbia, ayat 107)

Justeru, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana. Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani).

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim bersifat belas kasihan dalam pergaulan seharian bersama sesiapa saja yang berada di sekelilingnya. Sifat semula jadi itu menjadikan manusia mudah berasa belas kasihan dan tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa saudaranya dan begitu juga sebaliknya.

Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya sendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkatkan kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sebenarnya sifat rahmat merangkumi semua lapisan masyarakat terdiri daripada suami isteri, ibu bapa dan anak, majikan dan pekerja, sesama ahli masyarakat Islam dan antara pemimpin dengan rakyatnya kerana Islam adalah agama untuk semua tanpa mengira kedudukan dan taraf seseorang.

Dalam konteks kekeluargaan, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain dalam menguruskan dan melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam iaitu untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Demikianlah Islam menggariskan panduan hidup untuk diteladani umat Islam supaya kerukunan dan keharmonian rumah tangga dapat diciptakan. Walaupun ada ketikanya rumah tangga bergolak, Islam menyediakan panduan penyelesaian bagi membebaskan diri daripada masalah itu.

Contohnya, jika isteri nusyuz iaitu tidak taat atau ingkar arahan suami dalam hal kebajikan dan makruf, Islam menetapkan tiga langkah suami mengatasi masalah itu iaitu pertama nasihat, kedua berpaling tempat tidur dan yang akhirnya, memukul dengan belas kasihan .

Islam tidak pernah memberikan hak atau kebebasan kepada suami memukul dengan kekerasan hingga mencederakannya atau mendera dengan pelbagai bentuk penganiayaan. Sebaliknya Islam menyarankan suami menggunakan pendekatan berhemah dan berlemah lembut.
Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak mereka. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan.

Dalam keadaan tertentu, anak boleh dipukul, tetapi biarlah dengan penuh kasih sayang dan tujuan untuk mengajar ke arah kebaikan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Perintahkanlah anak kamu menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan lemah lembut dan kasih sayang untuk tujuan mengajar) apabila mereka berumur sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Islam menganggap semua manusia sama saja daripada segi taraf dan kedudukannya. Oleh itu, majikan sebagai ketua perlu bertolak ansur dan belas kasihan terhadap orang bawahannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat sama ada pekerja, pelayan atau pembantu rumah.

Seorang ketua hendaklah bertimbang rasa apabila menyuruh orang bawahannya melakukan kerja dan memaafkan mereka terhadap apa juga kesilapan kecil dilakukan. Mereka juga mempunyai hak yang wajib ditunai dan mempunyai kelemahannya tersendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap hamba memiliki hak makanan dan pakaian serta janganlah dibebankan dengan amalan yang tidak mampu dilakukannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW itu, setiap pekerja perlu dilindungi dan diberi hak sama rata seperti manusia lainnya. Islam melarang keras terhadap sebarang bentuk penganiayaan dan penderaan dilakukan kepada pekerja.

Islam dari awal lagi diutuskan untuk menghapuskan sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan kepada golongan bawahan apabila mengharamkan perhambaan dan melarang keras kezaliman terhadap mereka. Sesiapa melakukan penderaan terhadap mereka, sesungguhnya dia melakukan amalan jahiliah terkutuk.

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat harmonis dan bersatu padu, Islam menganjurkan umatnya supaya berbelas kasihan terhadap golongan fakir miskin dan yang tidak terdaya.
Demikianlah Islam sebagai agama bersifat rahmat kepada sekalian alam. Semua lapisan masyarakat perlu menghiaskan diri dengan sifat rahmat dan bertimbang rasa dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu dan negara aman sejahtera.

This entry was posted on Tuesday, September 08, 2009 at 9:26 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment

Antara kenangan disepanjang program Latihan Amali Dakwah Muslim

18 Ogos 2009-24 ogos 2009. Semoga perjalanan program yang telah dilaksanakan

membawa seribu satu pengertian. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan