HARAM HASILNYA KARAM  

Posted by aqma_caem in

HARAM HASILNYA KARAM
(Dr. Danial Bin Zainal Abidin)
Manusia dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi. Allah mengisytiharkan pelantikan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud, "(Dan ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi khalifah". Dalam kitab al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, "(Khalifah) ialah nabi Adam dan zuriat-zuriatnya".
Tugas sebagai khalifah merupakan satu tugas yang berat. Mereka wajib beribadah kepada Allah di muka bumi. Malah ibadah merupakan tujuan hidup mereka. Inilah ketetapan Illahi sebagaimana yang dinyatakan dalam surah az-Zariyat ayat 56, "Tidak aku jadikan jin dan juga manusia melainkan untuk beribadah kepadaku".
IBADAH PALING UTAMA
Antara ibadah yang paling penting yang sering diabaikan oleh umat Islam ialah meninggalkan yang haram. Dalam Ihya Ulumuddin, diriwayatkan peringatan yang pernah dibuat oleh Ummul Mukminin, Aisyah, yang berkata, "Kamu melupakan satu ibadah yang utama iaitu warak".
Warak bermaksud, menjauhi sesuatu yang haram serta yang mempunyai unsur syubhah (iaitu yang meragukan).
Pengambilan benda yang syubhah ataupun haram akan merosakkan ibadah. Sahabat Abdullah ibn Omar berkata, "Jika kamu mengerjakan solat seperti busur yang melengkung, dan kamu berpuasa sehingga menjadi kurus seperti anak panah, amalan kamu tidak akan diterima melainkan jika disertakan dengan warak yang mendinding".
Imam Sufyan at-Thauri juga mengingatkan umat Islam tentang perkara yang sama. Beliau berkata, "Sesiapa yang membelanjakan sesuatu yang haram, dia diumpamakan seperti seorang yang cuba membersihkan sehelai kain berlumuran najis dengan air kencing...Dosa tidak dapat dibersihkan melainkan dengan yang halal".
Ibadah dan warak berkait rapat dengan tahap iman seseorang. Imam Sahl at-Tusturi berkata, "Seseorang tidak akan sampai ke hakikat iman sehingga ada padanya empat perkara, iaitu, mengerjakan ibadah yang fardhu dan yang sunat, memakan benda yang halal dengan warak, menjauhi perkara yang dilarang sama ada zahir atau batin dan bersabar di atas yang demikian itu sehingga mati".
HARAM ADA PADAHNYA
Bersikap warak dan meninggalkan sesuatu yang haram tidak akan merugikan umat Islam sedikit pun sebaliknya ia mendatangkan keuntungan. Hal ini disebabkan, setiap sesuatu yang diharamkan pasti mempunyai kemudaratannya. Dalam surah al-A'raf ayat 157, Allah berfirman, "Dan (Dia) menghalalkan bagi mereka segala yang baik serta mengharamkan bagi mereka segala yang keji...".
Justeru, rugilah mereka yang bergelumang dengan yang haram. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan rezeki ke atas seseorang yang melakukan maksiat. Dan tidak ada sesuatu yang mampu menolak takdir melainkan doa, dan tidak akan bertambah umur melainkan dengan melakukan kebaikan". Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, an-Nasai dan Ibn Majah.
Demikianlah juga keadaannya dengan kota atau negeri yang penduduk-penduduknya bergelumang dengan maksiat. Allah akan menimpakan bala serta menyempitkan pintu-pintu rezeki ke atas penduduk-penduduk itu. Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 112 yang bermaksud, "Dan Allah membuat satu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dulunya aman lagi tenteram, rezeki datang secarah mencurah-curah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah menimpakan pakaian kelaparan dan ketakutan ke atas mereka, disebabkan apa yang mereka lakukan".
Antara contoh yang boleh kita jadikan iktibar ialah kaum Lut di Kota Sodom. Nabi Lut telah diutus untuk menyampaikan risalah Allah kepada mereka. Namun mereka menolak dakwah Nabi Lut dan bergelumang dengan amalan seks bebas. Kesannya ialah, Allah memusnahkan mereka dan kesan kehancuran kaum Lut ini telah ditemui di kawasan Laut Mati.
HALAL HARAM DALAM PEMAKANAN
Makan minum merupakan antara ibadah yang penting dalam Islam. Makanan yang haram menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w, "Seseorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya?" Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Tarmuzi.
Sebenarnya, makanan yang haram merosakkan ibadah dan mendekatkan seseorang kepada azab di akhirat. Mengikut Imam Tirmizi, Nabi bersabda, "Setiap daging yang tumbuh dari benda yang haram maka api nerakalah yang lebih utama baginya". Sahabat Abdullah ibn Abbas pula berkata, "Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram".
Sebaliknya sebarang usaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dirahmati oleh Allah. Dalam satu riwayat oleh Imam Tabrani, Nabi bersabda, "Barang siapa berusaha untuk keluarganya dari harta yang halal, dia berkedudukan seperti seorang yang berjihad pada jalan Allah".
Rezeki yang halal membantu pelaksanaan ibadah. Makanan yang haram memberi kesan kepada jasad lantas melemahkannya untuk beribadah. Imam Sahl At-Tusturi berkata, "Barang siapa memakan makanan yang haram akan derhakalah anggota tubuhnya. Barang siapa yang mengambil makanan yang halal anggotanya akan mentaatinya dalam kebaikan".
Antara perkara yang diharamkan oleh Islam ialah arak. Dalam surah al-Maidah ayat 90, Allah berfirman, "Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya".
Arak sememangnya berbahaya. Pada tahun 2002, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan bahawa arak (alkohol) merupakan salah satu pemusnah kesihatan yang amat berbahaya di dunia. Di negara-negara sedang membangun ia dikategorikan sebagai pemusnah utama kesihatan, diikuti dengan darah tinggi dan tembakau. Rumusan kepada penemuan ini telah dimuatkan dalam jurnal perubatan berprestij, The Lancet.
Daging haiwan liar juga diharamkan oleh agama. Berhubung dengan ini Imam Bukhari meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, "Rasulullah melarang (umat Islam) memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang memiliki kuku yang mencengkam".
Yang dimaksudkan dengan binatang buas yang bertaring ialah binatang-binatang yang menangkap binatang lain dan memakan bangkainya seperti singa, serigala, buaya dan seumpamanya.Yang dimaksudkan dengan burung yang memiliki kuku yang mencengkam ialah jenis-jenis burung yang mampu melukai haiwan lain dan memakan bangkai-bangkainya seperti burung helang dan rajawali.
Amalan memakan daging binatang liar amat berbahaya kerana kajian-kajian terkini menunjukkan besar kemungkinan wabak AIDS yang menyerang dunia hari ini berpunca dari amalan ini. Inilah yang dinyatakan oleh pakar-pakar daripada Universiti Nottinghamdi UK, Universiti Alabama di Birmingham, Universiti Duke di Durham, Universiti Tulane di New Orleans dan Universiti Montpelier di Perancis. Mereka melaporkan, kuman virus HIV pada asalnya menjangkiti haiwan liar dari jenis monyet. Virus ini kemudiannya menjangkiti Cimpanzi selepas ia memakan daging monyet ini. Manusia yang ghairah memburu dan memakan daging binatang liar menerima padahnya apabila akhirnya mereka pula dijangkiti virus ini selepas memakan daging cimpanzi. Penemuan ini dilaporkan dalam majalah Science dan rumusan tentangnya dimuatkan dalam New York Times bertarikh 12 Jun 2003, di bawah tajuk Origin of AIDS Traced Back Another Step.
Di samping iti daging babi juga diharamkan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi". Berdasarkan ayat ini umat Islam diharamkan memakan daging babi dan segala produk-produknya secara mutlak, kecuali ketika darurat.
Babi menjadi punca pelbagai penyakit, antaranya ialah anthrax, ascaris suum, botulism, brucella suis, cryptosporidiosis, entamoeba polecki, erysipelothrixshusiopathiae, flavobacterium group llb-like bacteria, influenza, leptospirosis dan banyak lagi.
Kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A), Murry J. Cohen (M.D), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S), Ray Greek (M.D), dan Stephen R. Kaufman (M.D) mendapati antara penyakit-penyakit ini ada yang boleh membawa maut, sebagai contoh leptospirosis. Ia menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Hal ini dinyatakan dalam artikel bertajuk Of Pigs, Primates, and Plagues: A Layperson's Guide to the Problems With Animal-to-Human Organ Transplants (1998) di www.mrmcmed.org/pigs.html.
PENUTUP
Kesemua yang Allah haramkan pasti ada kemudaratannya. Sebahagian daripada kemudaratan itu telah ditemui oleh sains. Namun umat Islam menjauhi yang haram bukan disebabkan oleh penemuan sains tetapi disebabkan kepatuhan mereka terhadap perintah Allah. Sains hanya diterima jika ia membantu dan menyokong apa yang diputuskan oleh agama, bukan sebaliknya. Tetapi sains bukan segala-galanya kerana ilmu Allah mengatasi sains yang dipelopori manusia. Justeru yang paling pokok ialah iman yang melahirkan kepatuhan kepada Allah di segenap penjuru kehidupan. Itulah asas kepada kejayaan dunia dan akhirat....

This entry was posted on Wednesday, July 29, 2009 at 3:17 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment

Antara kenangan disepanjang program Latihan Amali Dakwah Muslim

18 Ogos 2009-24 ogos 2009. Semoga perjalanan program yang telah dilaksanakan

membawa seribu satu pengertian. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan