AIDILADHA yang istimewa  

Posted by Rabeah Ab. Rahman

Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia merupakan perayaan terbesar dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada 10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Ia juga disebut sebagai Hari Raya Korban. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah. Aidiladha juga istimewa kerana umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah s.w.t dan kesabaran anaknya Nabi Ismail mematuhi perintah Allah s.w.t. Amalan-amalan yang dilakukan ketika menyambut Aidiladha ini di antaranya ialah:
1) Sembahyang Hari Raya
Pada Hari Raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian paling cantik, bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi harinya iaitu 10 Zulhijjah, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 raakat, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidilfitri. Terutama secara berjemaah bagi yang tidak menunaikan haji. Waktunya mulai terbit matahari sehingga masuk waktu zuhur. Cara menunaikan sembahyang sunat Aidiladha pada keseluruhannya sama seperti cara sembahyang sunat Aidilfitri kecuali perbezaan niat. Selepas sembahyang, sunat mendengar khutbah yang disampaikan oleh imam. Berbeza dengan Aidilfitri, juadah hari raya hanya dimakan selepas umat Islam selesaikan mengerjakan solat sunat.
2) Berkorban
Hukum berkorban adalah sunat muakkad bagi setiap muslim (sama ada sedang menunaikan haji atau tidak), merdeka, berakal, baligh dan berupaya iaitu mempunyai lebihan bagi keperluan diri dan orang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik.
Maksud korban ialah binatang ternakan tertentu iaitu kambing, lembu, kerbau dan unta. Syarat binatang korban itu hendaklah yang sihat dan tidak cacat. Haiwan sembelihan dikorbankan atas niat beribadat dan bertaqarrub kepada Allah s.w.t. Waktu sembelih ialah bermula naik matahari pada pagi Hari Raya iaitu pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari ke 13 Zulhijjah. Masa afdal ialah selepas menunaikan sembahyang Hari Raya. Daging korban pula akan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya golongan fakir miskin.
KELEBIHAN KORBAN:
Sebaik-baik ibadat sunat pada Hari Raya ialah berkorban: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina 'Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: ' Sebaik-baik amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji ialah menyembelih korban, sesungguhnya binatang korban yang telah disembelih itu pada hari kiamat kelak akan dibangkitkan dengan tanduk-tanduk, bulu-bulu dan kuku-kukunya (yakni lengkap dan sempurna anggotanya) sesungguhnya darah yang mengalir dari sembelihan korban itu mendapat penghargaan dari Allah dengan diredhainya dan diterimanya sebelum ia menitis ke tanah'. (Riwayat Tarmizi dan Al-Hakim)
3) Melawat kubur
Selepas sembahyang umat Islam akan melawat perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon maaf daripada yang tua. Kemudian, semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.
4) Kunjung-mengunjungi
Amalan berkunjung amat dekat dengan budaya orang Malaysia terutama umat Islam. Rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan adalah antara kediaman yang akan dituju. Selain mengeratkan silaturahim, tujuannya adalah mengadakan peluang bertemu untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain.
5) Menghidupkan malam hari raya
Seeloknya, malam Hari Raya diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Kita digalakkan untuk bertahmid sebagai mensyukuri nikmat Allah dan mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat. Takbir raya sunat bermula dari malam 9 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Diterangkan dalam satu hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid. Satu lagi hadis Rasulullah s.a.w bersabda daripada Anas r.a maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.
Sumber : Dara.com

This entry was posted on Monday, November 02, 2009 at 8:43 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment

Antara kenangan disepanjang program Latihan Amali Dakwah Muslim

18 Ogos 2009-24 ogos 2009. Semoga perjalanan program yang telah dilaksanakan

membawa seribu satu pengertian. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan