Pengumuman...  

Posted by Noor Hafizah in

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kepada semua sahabat kelas blog iaitu tutorial hari selasa jam 11.00 pagi sahabat diminta mengambil perhatian tentang pengagihan tugas yang disediakan dibawah. Tugasan sahabat hendaklah di submit pada saya Hafizah by email sebelum hari jumaat iaitu pada 18. september 2009 iaitu sebelum cuti raya untuk proses penyusunan. Sekiranya sahabat menghantar selepas hari jumaat yang telah ditetapkan tugas menyusun dan sebagainya akan diambil alih oleh kumpulan yang menghantar lewat. Harap maklum...

Tugasan ini mempunyai 4 bab. Bab 1 adalah tentang pendahuluan yang mana pendahuluan ini menerangkan tentang pendahuluan blog. Seperti biasa ia mengandungi matlamat, objektif, memahami dakwah melalu blog serta tambahan maklumat yang lain. Kumpulan ini juga hendaklah menerangkan sedikit sebanyak 3 sub topik secara umum kerana setiap topik akan bakal diulas lebih khusus oleh kumpulan yang lain.

Bab 2 adalah tentang teori blog, sejarah blog, dakwah melalui blog dan sedikit perbandingan antara blog dengan blog dakwah yang lain dan apa-apa maklumat tambahan mengenai blog dan elaborate secara lebih khusus.

Bab ke 3 menerangkan tentang blog Islam dan Gerakan Dakwah. Kaji sedikit sebanyak tentang matlamat awal atau tujuan penciptaan blog ini adalah untuk aktiviti LADM. Kemudian pengisian menjadi lebih bersifat umum dan sebagainya. Terangkan Organisasi blog ini (contributors) dan hak milik rasmi blog ini (pandailah buat ayat). Terangkan juga tentang blog ini dari sudut teknikal, isi kandungan, latar belakang, penulisan dan sebagainya.

Manakala bab 4 pula menerangkan dan menganalisis persepsi pelajar terhadap blog ini khsusnya berdasarkan soal selidik yang bakal diagihkan kepada pelajar pada hari jumaat ini. Kumpulan ini juga hendaklah mengemukakan cadangan untuk penambahbaikkan blog ini. Mereka juga hendaklah bertanggungjawab terhadap tugasan SPSS dan kesimpulan. Sila dapatkan soal selidik daripada saya sesegera mungkin iaitu pada esk petang.

Tugasan bab pendahuluan
-Syifak
- Jamilah Alimin
- Hawa huzaifah
-Kharunnisaa

Tugasan bab 2
- Azlinda
-Rabeah Abd Rahman
- Farihan

Tugasan bab 3
- Nadia
- Roziawati
- Akma Rawi
- Yusra

Tugasan bab 4
-Seri Herdayu
- Akma Nordin
- Shahrina

Sebarang rujukan yang diambil daripada internet hendaklah disertakan url didalam tugasan tersebut.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi saya pada bila2 masa kecuali masa2 terawikh.. :-)

SEKIAN TERIMA KASIH
Segala kerjasama anda amatlah dihargai (*_*)

ramadhan untukku..  

Posted by syifak in


Ramadhan Untukku
Aku merinduimu
Kini kau kembali
Betapa girangnya hatiku
Menyambut kedatanganmu
Masih ku ingat tragedi lepas
Pemergianmu mengundang seribu kepiluan
Sebaknya dada melihat kau pergi

Aku menangis ,Aku merintih
Tidak terdaya ku menghentikanmu
Dari pergi dariku
Andai diberi pilihan
Akanku mohon keberadaanmu di sisiku selamanya
Kini kau kembali
Membawa sejuta harapan
Menyinari diriku
Menerangi hatiku

Dengan keteguhan iman
Yang tiada bandingan
Kaulah harapanku
Kaulah peneguh imanku
Kaulah pengubat luka Semoga diriku
Akan lebih berbahagia di bulanmu, RAMADHAN.........

hidup ini hanya sepagi atau sepetang....  

Posted by farihan

Percayakah kita bahawa hidup di dunia ini ibarat hanya sepagi atau sepetang sahaja. Memang sukar untuk kita mempercayainya namun jika kita renung dan berfikir sejenak sebenarnya memang ada kebenarannya.

Sebahagian usia kita dihabiskan untuk tidur iaitu kira-kira sepertiga umur (8 jam setiap hari). Setelah itu sepertiga lagi (8 jam) digunakan untuk bekerja bagi mencari nafkah di dunia.
Biasanya waktu yang dapat kita nikmati ’sebebas-bebasnya’ ialah awal pagi dan lewat petang. Masa yang kita lalui juga begitu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik kita bakal menjadi dewasa, berumahtangga, punya anak dan cucu dan akhirnya kembali ke alam yang baqa.

Firman Allah (Erti):
Orang-orang Kafir bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari berbangkit (kiamat), Bilakah bakal ia terjadi?
Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waktunya?)
Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya)
Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)
“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari”.

Surah An Naaziat Ayat 42 - 46

Salam Dari Tuhan....  

Posted by farihan


Apakah perasaan kita apabila disapa oleh orang yang tinggi kedudukannya seperti Sultan dan Perdana Menteri di dunia ini..
sudah tentu terasa begitu gembira dan tidak terkata..
Inikan pula sebagai hamba..
lalu Allah Yang Maha Pencipta mengucapkan salam buat kita..
serta berjanji memberikan apa saja yang diminta..
Itu semua tidak mustahil jika kita beriman, beramal dan bertaqwa lalu dimasukkan ke dalam syurga di alam akhirat sana..

Renungkanlah Firman Allah yang sering kita baca di malam Jumaat yang mulia..

Maka pada hari ituseseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalas kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan mereka. Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh bertelekan di atas dipan-dipan.
Di syurga itumereka memperolehi buah-buahandan memperoleh apa yang mereka minta
(Kepada mereka dikatakan) : “Salam”sebagai ucapan selamatdari Tuhan Yang Maha Penyayang


(Terjemahan Surah Yaa Sin : Ayat 54-58)

Cerita Tentang Masa....  

Posted by farihan


Masa itu emas...
Masa mencemburui kita...
Masa adalah modal kehidupan...
Masa bersifat relatif...

Allah juga bersumpah dengan masa...

Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran...” Maksud Surah Al Asr.

Rasulullah juga pernah bersabda yang maksudnya..
“Gunakanlah lima sebelum datangnya lima perkara..masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati".

Kini masa begitu pantas berlalu..

“Sehari bagaikan sejam..seminggu bagaikan sehari..sebulan bagaikan seminggu..setahun bagaikan sebulan..”

Itulah antara tanda-tanda kiamat makin hampir....

"DAKWAH", TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB.  

Posted by farihan

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran, ayat 19 :

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi
Allah ialah Islam”.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tiada agama yang diredhai Allah selain Islam. Oleh yang demikian apakah tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam terhadap Firman Allah yang telah diperjelaskan tadi? Hampir setiap dari kita sudahpun memahaminya. Persoalannya, sejauh manakah tugas dan tanggungjawab ini telah kita laksanakan? Bila disebutkan perkataan 'Dakwah' majoriti dari kita memahami 'konsep berdakwah' ini hanya ditujukan kepada mereka yang bukan beragama Islam, yang harus dilakukan oleh para pendakwah atau ‘Da'i’ sahaja.

Kewajipan menyeru manusia kepada kebenaran adalah bersifat universal dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa dan bahasa. Perintah supaya berdakwah banyak terdapat dalam Al-Quran dan juga himpunan
Hadith Rasulullah S.A.W.

Firman Allah S.W.T dalam surah Fussilat, ayat 33, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata; Sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman”.

Tugas berdakwah adalah antara Tanggungjawab setiap umat Islam dalam usaha untuk menegakkan “Kalamullah” di muka bumi ini. Perlu diingatkan juga, dalam menjalankan tugas dakwah ini, ia harus dilakukan dengan hati yang ikhlas tanpa ada niat ingin menunjuk-nunjuk, riak dan mengharapkan 'balasan' dari setiap kerja yang telah dijalankan dan dalam menjalankan tanggungjawab ini, setiap dari kita haruslah banyak bersabar, kerana tiap-tiap orang yang bersabar itu pasti beroleh kemenangan' InsyaAllah!

0leh : Datuk Haji Hasbullah L. Isa
Penolong Setiausaha Agung Kehormat

Sifat belas kasihan bukti kesempurnaan iman  

Posted by farihan

MASYARAKAT Malaysia terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekertinya yang lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji.

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kes penderaan dan penganiayaan di kalangan masyarakat Malaysia bermula kes penderaan anak, penganiayaan isteri atau suami dan penderaan terhadap pembantu rumah.

Rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan ini sudah cukup menggambarkan betapa masyarakat Malaysia kini semakin kepupusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka. Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan.

Islam sebenarnya membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk yang menghuni alam ini termasuk binatang. Ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah al-Anbia, ayat 107)

Justeru, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana. Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani).

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim bersifat belas kasihan dalam pergaulan seharian bersama sesiapa saja yang berada di sekelilingnya. Sifat semula jadi itu menjadikan manusia mudah berasa belas kasihan dan tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa saudaranya dan begitu juga sebaliknya.

Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya sendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkatkan kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sebenarnya sifat rahmat merangkumi semua lapisan masyarakat terdiri daripada suami isteri, ibu bapa dan anak, majikan dan pekerja, sesama ahli masyarakat Islam dan antara pemimpin dengan rakyatnya kerana Islam adalah agama untuk semua tanpa mengira kedudukan dan taraf seseorang.

Dalam konteks kekeluargaan, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain dalam menguruskan dan melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam iaitu untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Demikianlah Islam menggariskan panduan hidup untuk diteladani umat Islam supaya kerukunan dan keharmonian rumah tangga dapat diciptakan. Walaupun ada ketikanya rumah tangga bergolak, Islam menyediakan panduan penyelesaian bagi membebaskan diri daripada masalah itu.

Contohnya, jika isteri nusyuz iaitu tidak taat atau ingkar arahan suami dalam hal kebajikan dan makruf, Islam menetapkan tiga langkah suami mengatasi masalah itu iaitu pertama nasihat, kedua berpaling tempat tidur dan yang akhirnya, memukul dengan belas kasihan .

Islam tidak pernah memberikan hak atau kebebasan kepada suami memukul dengan kekerasan hingga mencederakannya atau mendera dengan pelbagai bentuk penganiayaan. Sebaliknya Islam menyarankan suami menggunakan pendekatan berhemah dan berlemah lembut.
Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak mereka. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan.

Dalam keadaan tertentu, anak boleh dipukul, tetapi biarlah dengan penuh kasih sayang dan tujuan untuk mengajar ke arah kebaikan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Perintahkanlah anak kamu menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan lemah lembut dan kasih sayang untuk tujuan mengajar) apabila mereka berumur sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Islam menganggap semua manusia sama saja daripada segi taraf dan kedudukannya. Oleh itu, majikan sebagai ketua perlu bertolak ansur dan belas kasihan terhadap orang bawahannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat sama ada pekerja, pelayan atau pembantu rumah.

Seorang ketua hendaklah bertimbang rasa apabila menyuruh orang bawahannya melakukan kerja dan memaafkan mereka terhadap apa juga kesilapan kecil dilakukan. Mereka juga mempunyai hak yang wajib ditunai dan mempunyai kelemahannya tersendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap hamba memiliki hak makanan dan pakaian serta janganlah dibebankan dengan amalan yang tidak mampu dilakukannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW itu, setiap pekerja perlu dilindungi dan diberi hak sama rata seperti manusia lainnya. Islam melarang keras terhadap sebarang bentuk penganiayaan dan penderaan dilakukan kepada pekerja.

Islam dari awal lagi diutuskan untuk menghapuskan sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan kepada golongan bawahan apabila mengharamkan perhambaan dan melarang keras kezaliman terhadap mereka. Sesiapa melakukan penderaan terhadap mereka, sesungguhnya dia melakukan amalan jahiliah terkutuk.

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat harmonis dan bersatu padu, Islam menganjurkan umatnya supaya berbelas kasihan terhadap golongan fakir miskin dan yang tidak terdaya.
Demikianlah Islam sebagai agama bersifat rahmat kepada sekalian alam. Semua lapisan masyarakat perlu menghiaskan diri dengan sifat rahmat dan bertimbang rasa dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu dan negara aman sejahtera.

Rasia Tarian "Poco-Poco" Terbongkar  

Posted by Hawa' in

Di syarikat tempat saya bekerja sekarang, pada setiap hari Selasa dan Jumaat selepas waktu kerja, mereka akan adakan latihan senaman. Senaman itu sebanarnya bukanlah senaman biasa, tetapi lebih kepada tarian poco-poco.

Saya secara peribadinya tidak menentang aktiviti ’senaman’ ini. Lebih-lebih lagi ianya dilakukan untuk tujuan kesihatan. Tetapi apabila senaman ini tampaknya sudah tidak jadi senaman, sebaliknya hanyalah tarian yang dilakukan untuk berseronok-seronok, maka saya memang tidak setuju
.

Tambahan pula, baru-baru ini, saya ada terbaca mengenai satu artikel yang menerangkan tentang rahsia atau asal usul tarian poco-poco yang sangat popular sekarang.

Secara jujurnya, sebelum ini, saya sebenarnya tidak pernah ambil peduli dan tak ambil tahu pun tentang latar belakang, asal-usul dan motif tarian poco-poco ini. Namun selepas membaca 1 artikel ini, membuatkan saya tersentak dan terkejut dengan apa yang diterangkannya.

Saya tidak pasti, apakah info atau maklumat mengenai rahsia tarian poco-poco ini adalah fakta sebenar atau tidak. Tetapi kita sebagai orang Islam sewajarnyalah mengambil berat tentang dakwaan ini. Kerana kita bimbang, dek kerana kita suka dan ikut sangat tarian ini, kita nanti akan termasuk dalam golongan mereka itu.

Bukankah Nabi SAW dah pesan melalui sabdaan nya ;

“Man tasyabbaha bi qaumin fahua minhum”.

Bermaksud : Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka seseorang itu terdiri dari kalangan mereka) (iaitu kaum berkenaan).

Hadis ini juga secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam perlu kekal dengan identiti dan jatidiri mereka sebagai muslim. Mereka dilarang dari menyerupai golongan musyrikin disebabkan akidah seseorang muslim itu terangkum tiga dimensi iaitu perkataan, perbuatan dan pegangan.

Jadi, saya berpandangan, jika benar info atau fakta mengenai tarian poco-poco ini, maka kita sebagai orang Islam mestilah meninggalkannya. Tidak usahlah menari poco-poco lagi. Kalau minat dan nak sangat menari, carilah tarian lain.

Rahsia Asal Usul Tarian Poco-poco.

Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan-rakan semua tantang tarian poco-poco yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat, umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri-suri rumah dan badan-badan kerajaan ketika manghadiri kursus.

Sebenarnya tarian poco-poco ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yang membentuk salib.

Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut-ikut sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh-musuh islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama Hindu. cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan.

Saya dulu pernah terfikir, kenapa tarian itu dimulakan dari kiri? Dan apa jenis senaman ini? Relevankah tarian ini, yang kelihatan seperti tidak siuman?

Saya menyeru kepada diri anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi ‘menarikan’ lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar. Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kesannya kepada akidah umat Islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini,agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan ‘keasyikkan’ menarikan tarian ini.

~renungan bersama~  

Posted by -:iNsan yaNg dh0iF:-

Buat semua pembaca blog Islam dan Gerakan Dakwah yang dikasihi, semoga kita dapat mengambil manfaat dari kisah ini.

Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud A.S sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu.

Lalu Nabi Daud A.S. berkata pada dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?"

Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud A.S. "Wahai Nabi Allah! Allah S.W.T telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud A.S. "Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?"

Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah S.W.T. maka Nabi Daud A.S. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka mentedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai bahan sejarah, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini.

~sirru 'ala barakatillah~

Antara kenangan disepanjang program Latihan Amali Dakwah Muslim

18 Ogos 2009-24 ogos 2009. Semoga perjalanan program yang telah dilaksanakan

membawa seribu satu pengertian. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan